BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Pengenalan

Pengenalan

btpBahagian Teknologi Pendidikan (BTP) telah diwujudkan pada 19 Jun 1972 dengan nama Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan. Kelulusan untuk mewujudkan BTP dibuat oleh Kabinet dalam tahun 1971. Fungsi utamanya pada ketika itu ialah memberi perkhidmatan siaran radio, perkhidmatan alat pandang-dengar dan perkhidmatan siaran TV ke sekolah-sekolah. Dalam tahun 1988, nama Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan ditukar nama kepada Bahagian Teknologi Pendidikan apabila fungsinya diperluas bagi merangkumi perkhidmatan pusat sumber sekolah. Kini, BTP mempunyai 11 sektor dan 15 BTPN.

Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000 Quality Management Systems-Requirements. Sistem ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh BTP mempunyai standard kualiti yang dikehendaki.

Sejak penubuhannya, BTP mempunyai misi mewujud dan mengekalkan budaya penggunaan dan penghayatanKPP teknologi pendidikan dalam kalangan guru dan murid ke arah mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Matlamat BTP ialah membantu meningkatkan mutu pendidikan di negara kita dengan berteraskan falsafahnya “bahawa penggunaan pelbagai jenis media pendidikan secara terancang dapat mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta memberi peluang kepada setiap murid menguasai ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik dan berkesan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mengembangkan potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu”.

Untuk mencapai matlamat tersebut, BTP berusaha;

  • Memupuk kesedaran para pendidik terhadap pentingnya peranan teknologi pendidikan dalam perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini.
  • Memberi khidmat bantuan yang boleh memenuhi keperluan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk faedah sekolah-sekolah di luar bandar.
  • Menggalakkan para pendidik menyampaikan pelajaran dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif melalui penggunaan pelbagai media pendidikan, dengan memberi latihan-latihan dan khidmat nasihat dan bantuan teknikal.
  • Membantu dalam perancangan dan pelaksanaan sebarang pembaharuan dalam kurikulum.
  • Menyebarkan maklumat mengenai pembaharuan dan perkembangan dalam bidang pendidikan kepada guru dan ibu bapa.