BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / video / TOKOH GURU 2016

TOKOH GURU 2016

Tokoh Guru Negeri Johor 2015, Azizul Rahman Abdul Rahman dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahmad Sipon, masing-masing dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2016. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan kedua-dua anugerah itu sempena pelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45, di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Azizul Rahman, 64, dari Parit Sulung, Batu Pahat Johor, berkhidmat selama 33 tahun, dengan memulakan kerjaya sebagai guru terlatih pada 1976 selepas menamatkan latihan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 1974. Beliau yang bersara wajib sebagai pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sulaiman, Parit Sulong pada 28 September 2010, pernah diiktiraf sebagai Guru Cemerlang Gred DG54 pada 2004 dan Guru Cemerlang Gred Khas C Kohort pertama pada 2006.

Mempunyai empat anak, beliau bukan saja guru yang cemerlang malah sehingga kini telah menulis lebih 100 judul buku yang memfokuskan bidang pendidikan. Antara hasil penulisan beliau termasuklah Buku Teks Bahasa Melayu; Buku Ilmiah Bahasa Melayu; Buku Rujukan dan Kerja Bahasa Melayu serta menulis rencana pendidikan di dalam majalah dan akhbar. Antara inovasi beliau selepas bersara ialah menghasilkan buku Perhimpunan Mingguan Bermaklumat dan Guru Ganti untuk sekolah menengah. Sementara itu, Dr Ahmad, 65, dari Johor, memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada tahun 1975 selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Adelaide Australia pada 1974. Beliau pernah menerajui Bahagian Pengurusan Politeknik selama tiga tahun dan pernah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor sejak tahun 1999 hingga 2000. Kemuncak kepada kerjayanya, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 2005 sehingga bersara wajib pada 2007.

EduwebTV : Laman web rasmi : http://www.eduwebtv.com

About admin

Profile photo of admin

Check Also

jkpa04_pkgd

Aktiviti Unit Media dan Inovasi Pendidikan, BTPN Kelantan 2016

Related

Leave a Reply